Penjagaan Luka & Wound Dressing | Klinik Medcare

Penjagaan Luka Di Klinik Medcare. Rawatan Betul Dari Awal, Sembuh Lebih Pantas

Luka yang tidak dirawat dengan betul boleh menjadi jangkitan, membentuk parut yang buruk, atau dalam kes luka diabetes , membawa kepada komplikasi yang serius. Klinik Medcare Kota Masai menyediakan perkhidmatan penjagaan luka yang menyeluruh untuk semua jenis luka akut, kronik dan pasca-pembedahan. Setiap luka dinilai oleh doktor sebelum rawatan ditentukan kerana tidak semua luka sesuai menggunakan dressing yang sama.

Semua Jenis Luka | Dressing Moden & Konvensional | Penilaian Doktor | 9AM–10PM Setiap Hari

Cuci Luka Bukan Sekadar Tukar Pembalut. Ia Adalah Proses Klinikal

Ramai yang beranggapan penjagaan luka di klinik hanyalah membersihkan luka dan melekat pembalut baru. Anggapan ini tidak tepat, dan anggapan inilah yang menyebabkan ramai pesakit mengalami luka yang lambat sembuh, jangkitan berulang atau parut yang buruk.

Cuci luka bukan sekadar membersihkan luka dan menukar dressing. Luka perlu dinilai dengan betul supaya tanda jangkitan, keadaan kulit sekeliling, tahap kelembapan luka dan faktor yang melambatkan penyembuhan dapat dikenal pasti lebih awal.

Penjagaan luka yang betul di Klinik Medcare merangkumi:

✔ Penilaian menyeluruh oleh doktor — saiz, kedalaman, jenis eksudat, tanda jangkitan
✔ Pembersihan luka menggunakan teknik yang sesuai
✔ Pemilihan dressing yang tepat mengikut jenis dan keadaan luka
✔ Arahan penjagaan di rumah yang jelas
✔ Pemantauan perkembangan penyembuhan pada setiap kunjungan susulan
✔ Rujukan pakar jika diperlukan

an abstract photo of a curved building with a blue sky in the background

Love the dr here, explanation clear. Very helpful banyak dgr pandangan & dgr our issue as patient. Staff pun very friendly 🤗

Aisyah Zainul

makes me keep coming here because I like hearing explanations from doctors, good detail jugak, recomended.

Ridzuan Alias

★★★★★
★★★★★

Bagaimana Luka Sembuh? 4 Fasa Yang Perlu Anda Tahu

Memahami proses penyembuhan luka membantu anda memahami mengapa rawatan yang betul pada setiap fasa adalah penting.

🔴 Fasa 1 : Hemostasis (Minit Pertama)

Apabila kulit cedera, tindak balas segera badan adalah menghentikan pendarahan. Saluran darah di sekitar kawasan yang rosak mengecut untuk mengurangkan aliran darah dan badan memulakan proses pembekuan, platelet darah bergegas ke kawasan cedera untuk menyumbat pendarahan, dan rangkaian fiber membentuk darah beku yang rata. Ini juga membantu melindungi daripada sebarang bakteria atau zarah yang memasuki luka dan menyediakan kerangka stabil untuk penyembuhan bermula.

Apa yang perlu dilakukan: Tekan luka dengan kain bersih selama 10–15 minit. Jangan angkat terlalu kerap untuk melihat luka — ini mengganggu proses pembekuan.

🟠 Fasa 2 : Keradangan (Hari 1–4)

Selepas pendarahan berhenti, badan menghantar sel darah putih ke kawasan luka untuk melawan jangkitan dan membersihkan debris. Luka akan kelihatan merah, hangat, bengkak dan sakit, ini adalah tanda normal proses keradangan yang sihat, bukan tanda jangkitan.

Apa yang perlu dilakukan: Jaga luka tetap bersih dan lembap. Pembalut yang betul pada fasa ini kritikal.

🟡 Fasa 3 : Proliferasi / Pembinaan Semula (Hari 4–21)

Badan mula membina tisu baru. Kolagen dihasilkan untuk mengisi ruang luka. Saluran darah baru tumbuh. Kulit mula menutup luka dari tepi ke tengah. Tisu granulasi berwarna merah muda segar kelihatan, ini adalah tanda penyembuhan yang baik.

Apa yang perlu dilakukan: Kekalkan persekitaran luka yang lembap (moist wound healing). Gantikan dressing mengikut jadual yang ditetapkan doktor.

🟢 Fasa 4 : Pematangan / Pembentukan Parut (Minggu 3 – 2 Tahun)

Kolagen yang terbentuk mula disusun semula dan diperkukuhkan. Luka menutup sepenuhnya dan parut mula terbentuk. Parut mungkin kelihatan merah dan terangkat pada mulanya, secara perlahan ia akan menjadi lebih pucat dan rata.

Apa yang perlu dilakukan: Lindungi parut dari cahaya matahari. Sapukan krim parut jika disyorkan oleh doktor.

Kenapa Penting Memahami Fasa Ini?

Rawatan yang salah pada mana-mana fasa boleh mengganggu proses penyembuhan semula jadi. Contohnya penggunaan antiseptik yang terlalu kuat (seperti povidone iodine pekat) pada fasa proliferasi boleh merosakkan sel granulasi yang baru tumbuh dan melambatkan penyembuhan. Ini adalah mengapa rawatan luka memerlukan penilaian profesional — bukan sekadar "letak ubat merah dan balut."

🩹 1. Luka Akut : Kecederaan & Trauma

Luka akut adalah luka yang berlaku secara tiba-tiba akibat kecederaan dan mempunyai proses penyembuhan yang dijangka berjalan normal.

Contoh luka akut:

  • Luka calar (abrasion) - akibat jatuh atau geseran

  • Luka potong (laceration) - luka yang bertepi tajam akibat pisau, cermin atau benda tajam lain

  • Luka tebuk (puncture wound) - akibat paku, duri atau objek runcing

  • Luka bakar ringan (burns darjah 1 & 2 kecil) - akibat sentuhan panas, wap atau cecair panas

  • Luka lebam (contusion) - akibat benturan tanpa cedera kulit yang teruk

  • Luka gigitan serangga atau haiwan (ringan)

  • Luka pasca-prosedur klinik - selepas suntikan, biopsi kecil

Rawatan:
Pembersihan luka segera, penilaian keperluan jahitan, dressing yang sesuai dan vaksinasi tetanus jika diperlukan.

🪡 2. Luka Yang Memerlukan Jahitan (Suturing)

Tidak semua luka potong perlu dijahit - tetapi luka yang dalam, bertepi terbuka atau berisiko meninggalkan parut yang ketara mungkin memerlukan jahitan untuk penyembuhan yang optimum.

Tanda luka yang mungkin perlu jahitan:

  • Luka melebihi 1–2 cm panjang

  • Tepi luka terbuka dan tidak dapat tertutup dengan tekanan

  • Luka yang dalam melepasi lapisan kulit

  • Luka pada kawasan muka, tangan atau sendi yang memerlukan hasil kosmetik yang baik

  • Pendarahan yang tidak berhenti walaupun selepas tekanan berterusan

Di Klinik Medcare:
Kami menggunakan benang jahitan yang sesuai mengikut lokasi dan jenis luka. Jahitan boleh diserap sendiri (tidak perlu cabut) atau jahitan yang perlu dicabut selepas 5–14 hari bergantung kepada kawasan.

🍬 3. Luka Diabetes (Diabetic Foot Ulcer)

Luka diabetes adalah antara luka yang paling serius dan memerlukan perhatian klinikal segera. Bagi pesakit diabetes, luka kecil sekalipun tidak boleh dipandang ringan kerana risiko jangkitan dan penyembuhan lambat adalah lebih tinggi.

Mengapa luka diabetes berbahaya?

Diabetes menyebabkan dua masalah utama yang menjejaskan penyembuhan luka:

Neuropati Diabetik (Kerosakan Saraf):
Pesakit diabetes sering tidak merasakan sakit pada kaki mereka akibat kerosakan saraf. Ini bermakna luka kecil, lecet atau ulser boleh berkembang tanpa disedari sehingga menjadi serius.

Penyakit Vaskular Periferal (Aliran Darah Lemah):
Paras gula darah yang tinggi merosak saluran darah kecil, mengurangkan aliran darah ke kaki dan menjejaskan bekalan oksigen dan nutrien yang diperlukan untuk penyembuhan.

Akibat jika tidak dirawat dengan betul:

Luka kaki diabetes boleh menyebabkan kemasukan hospital akibat jangkitan atau komplikasi ulser lain dan boleh membawa kepada amputasi anggota jika tidak dirawat.

Tanda luka diabetes yang perlu rawatan segera:

  • Luka atau ulser pada kaki yang tidak sembuh selepas 1–2 minggu

  • Kemerahan, bengkak atau kehangatan pada bahagian kaki

  • Luka berbau atau mengeluarkan nanah

  • Luka yang semakin membesar walaupun dirawat

  • Demam atau menggigil berkaitan dengan luka kaki

Pendekatan rawatan kami:

Proses cuci luka biasanya bermula dengan pemeriksaan luka terlebih dahulu supaya pasukan penjagaan luka dapat memahami keadaan luka sebelum menentukan dressing atau penjagaan susulan yang sesuai. Keadaan luka akan diperiksa, termasuk saiz luka, kedalaman luka, cecair luka, tanda jangkitan, keadaan kulit sekeliling dan tahap penyembuhan.

🛏️ 4. Pressure Ulcer / Bed Sore (Luka Tekanan)

Pressure ulcer adalah kecederaan setempat pada kulit yang boleh disebabkan oleh mobiliti yang terhad, pemakanan yang kurang baik, penyakit penyerta, kulit yang semakin tua atau geseran dan kelembapan.

Luka tekanan paling kerap berlaku pada pesakit yang terbaring lama, warga emas, pesakit pasca-strok, pesakit yang dirawat di rumah atau mereka yang menggunakan kerusi roda.

Kawasan yang paling berisiko:

  • Tulang ekor (sacrum) - paling biasa

  • Tumit (heel)

  • Buku lali (ankle)

  • Bahagian belakang kepala

  • Bahu dan siku

Klasifikasi tahap pressure ulcer:

  • Tahap 1: Kemerahan pada kulit yang tidak hilang apabila ditekan

  • Tahap 2: Kehilangan lapisan kulit sebahagian seperti lepuh atau calar

  • Tahap 3: Kehilangan kulit penuh dimana luka mencapai tisu lemak

  • Tahap 4: Kehilangan tisu penuh dimana luka mencapai otot atau tulang

Rawatan di Klinik Medcare:
Penilaian tahap luka, pembersihan dan dressing yang sesuai, nasihat kepada penjaga tentang pusing pesakit, bantalan tekanan dan pemakanan yang menyokong penyembuhan.

🩸 5. Ulser Vena & Arterial (Ulser Kaki)

Ulser vena disebabkan oleh peningkatan tekanan dalam urat. Ia biasanya berlaku pada bahagian bawah kaki dan mengakibatkan pengumpulan darah. Jenis luka ini sangat lambat untuk sembuh, biasanya disebabkan oleh peredaran darah yang lemah pada anggota badan. Ia boleh bertahan dari beberapa minggu hingga bertahun-tahun.

Ulser arterial pula berlaku apabila aliran darah arteri ke kaki berkurangan, menyebabkan tisu kekurangan oksigen dan luka yang sukar sembuh.

🔪 6. Luka Pasca-Pembedahan (Post-Operative Wound)

Luka pembedahan memerlukan penjagaan yang teliti untuk memastikan penyembuhan primer yang baik dan mengelakkan jangkitan luka.

Yang kami uruskan:

  • Pemantauan luka jahitan selepas pembedahan kecil di klinik

  • Penggantian dressing pasca-pembedahan

  • Mengesan tanda-tanda jangkitan luka awal (SSI)

  • Pencabutan jahitan pada masa yang tepat

  • Penilaian dan rawatan jika luka terbuka semula (dehiscence)

🔥 7. Luka Bakar Ringan (Minor Burns)

Luka bakar darjah pertama dan darjah kedua yang kecil boleh dirawat di klinik. Penilaian segera adalah penting untuk menentukan sama ada kes boleh diurus di klinik atau memerlukan rujukan hospital.

Kami merawat:

  • Luka bakar darjah 1 (kemerahan sahaja, tiada lepuh)

  • Luka bakar darjah 2 kecil (lepuh, kawasan < 5% permukaan badan)

  • Luka bakar akibat cecair panas, wap, sentuhan objek panas, atau cahaya matahari teruk (sunburn)

Rujukan hospital segera untuk:

  • Luka bakar darjah 2 yang melibatkan kawasan > 5% permukaan badan

  • Semua luka bakar darjah 3

  • Luka bakar pada muka, tangan, kaki, alat kelamin atau sendi utama

  • Luka bakar akibat bahan kimia atau elektrik

Dressing Konvensional vs Dressing Moden. Apa Beza & Bila Setiap Satu Digunakan?

Pemilihan dressing adalah antara keputusan klinikal paling penting dalam penjagaan luka. Dressing dipilih berdasarkan jenis luka, tahap kelembapan, jumlah cecair luka dan keperluan perlindungan luka. Tidak semua luka sesuai menggunakan dressing yang sama.

🩹 Dressing Konvensional

Termasuk kasa steril, plaster biasa, pembalut elastik dan dressing asas yang telah digunakan selama berdekad-dekad.

Sesuai untuk:

  • Luka akut kecil yang bersih

  • Luka yang sudah dalam fasa penyembuhan lanjut

  • Luka yang mengeluarkan sedikit eksudat

  • Situasi di mana kos adalah pertimbangan utama

Batasan:

  • Kasa kering boleh melekat pada tisu granulasi dan menyebabkan kesakitan semasa penggantian

  • Perlu digantikan lebih kerap

  • Tidak mengekalkan persekitaran lembap yang optimum untuk penyembuhan

✨ Dressing Moden (Advanced Wound Dressing)

Modern dressing merupakan pendekatan terkini dalam merawat luka yang menggunakan bahan-bahan inovatif dan teknologi canggih untuk mempercepat penyembuhan luka, mengurangkan risiko infeksi, serta mampu meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Jenis-jenis dressing moden dan kegunaannya:

🟦 Hydrocolloid Dressing

Mengandungi agen penyerap yang membentuk gel apabila bersentuhan dengan eksudat luka. Mengekalkan persekitaran lembap yang optimum untuk penyembuhan.

Sesuai untuk: Luka tekanan tahap 1–2, ulser vena ringan, luka dermabrasion, kulit yang lecet.
Kelebihan: Tahan air, tidak perlu tukar setiap hari, mengurangkan kesakitan semasa penggantian.

🟩 Foam Dressing

Dressing berasaskan busa yang menyerap eksudat dalam kuantiti sederhana hingga tinggi sambil mengekalkan kelembapan di permukaan luka.

Sesuai untuk: Luka dengan eksudat sederhana hingga tinggi, pressure ulcer, luka diabetes dengan eksudat, luka yang berisiko tekanan.
Kelebihan: Pengurusan eksudat yang boleh dipercayai, keselesaan pemakaian yang tinggi, tindakan antimikrob yang luas, tahan air dan kuman, mengekalkan persekitaran penyembuhan luka yang lembap.

🟨 Alginate Dressing

Diperoleh daripada rumpai laut , menyerap eksudat dalam kuantiti tinggi dan membentuk gel yang lembap pada permukaan luka.

Sesuai untuk: Luka yang mengeluarkan banyak eksudat, luka berbentuk kaviti, luka diabetes yang dalam, ulser vena yang aktif.
Kelebihan: Penyerapan eksudat yang sangat tinggi, boleh diisi ke dalam kaviti luka, membantu hemostasis.

🟪 Hydrofibre / Aquacel Dressing

Dressing serat selulosa yang menyerap eksudat dan membentuk gel lembut yang mengekalkan kelembapan konsisten.

Sesuai untuk: Luka dengan eksudat tinggi, luka yang terinfeksi, luka diabetes yang kompleks.

🔵 Silver Dressing (Antimikrob)

Mengandungi ion perak yang mempunyai sifat antimikrob yang kuat, berkesan terhadap pelbagai bakteria termasuk MRSA.

Sesuai untuk: Luka yang menunjukkan tanda jangkitan atau berisiko tinggi jangkitan, luka diabetes yang bernanah, luka kronik dengan biofilm bakteria.
Kelebihan: Kawalan jangkitan tanpa perlu antibiotik topikal dalam banyak kes.

🟫 Hydrogel Dressing

Mengandungi kandungan air yang tinggi , membantu melembapkan luka yang terlalu kering dan membantu proses autolytic debridement (pembersihan tisu mati secara semula jadi).

Sesuai untuk: Luka yang kering atau nekrotik, luka bakar, luka yang memerlukan kelembapan tambahan.

Panduan Khas Untuk Pesakit Diabetes. Jangan Tunggu Luka Jadi Besar

Di Malaysia, diabetes adalah antara penyebab utama amputasi kaki yang tidak berkaitan dengan kecederaan. Kebanyakan amputasi ini boleh dicegah dengan penjagaan luka yang betul dan awal.

Pemeriksaan kaki harian yang perlu dilakukan oleh setiap pesakit diabetes:

✔ Periksa seluruh kaki setiap hari - termasuk antara jari kaki
✔ Gunakan cermin untuk melihat tapak kaki jika sukar untuk membongkok
✔ Cari tanda luka, lecet, keretakan kulit, kalus atau perubahan warna
✔ Rasa suhu kaki - kaki yang lebih panas dari biasa boleh menunjukkan jangkitan
✔ Perhatikan perubahan pada kuku kaki

Datang ke Klinik Medcare dengan segera jika:

  • Terdapat luka atau ulser pada kaki - walau sekecil mana sekalipun

  • Kulit kaki kelihatan merah, bengkak atau berubah warna

  • Kaki terasa kebas atau "seperti memakai stokin" walaupun tidak memakai stokin

  • Luka yang sudah dirawat di rumah tidak menunjukkan perbaikan dalam 3–5 hari

Yang kami pantau pada setiap kunjungan luka diabetes:

  • Perkembangan saiz dan kedalaman luka

  • Tanda jangkitan - termasuk ujian swab luka jika perlu

  • Paras gula darah - kawalan gula adalah kritikal untuk penyembuhan

  • Rujukan pakar jika ada tanda jangkitan teruk atau iskemia

Proses Penjagaan Luka Di Klinik Medcare. Langkah Demi Langkah

Langkah 1 - Penilaian Luka Oleh Doktor

Setiap rawatan luka bermula dengan penilaian klinikal yang menyeluruh:

  • Saiz luka - panjang, lebar dan kedalaman

  • Jenis luka - akut, kronik, pasca-pembedahan

  • Warna dasar luka - merah (granulasi), kuning (slough), hitam (nekrosis)

  • Jumlah dan jenis eksudat - serous, serosanguinous, purulen

  • Bau - tanda jangkitan

  • Tepi dan kulit sekeliling luka - keadaan, tanda maceration atau kerosakan

  • Tanda jangkitan - kemerahan melebar, panas, bengkak, nanah, demam

Langkah 2 - Pembersihan Luka

Luka dibersihkan dengan teknik yang sesuai mengikut keadaan luka. Tujuannya adalah untuk membantu mengurangkan kotoran, cecair berlebihan atau bahan yang boleh mengganggu proses penyembuhan.

Larutan pembersih yang kami gunakan:

  • Normal saline - larutan pembersih yang paling selamat, tidak merosakkan sel

  • Larutan antiseptik yang sesuai - hanya apabila diperlukan dan dalam kepekatan yang betul

  • Hidrogen peroksida - hanya untuk situasi tertentu dan tidak digunakan secara rutin

Langkah 3 - Debridement (Jika Diperlukan)

Debridement adalah proses penyingkiran tisu mati, nekrosis atau slough dari luka untuk membolehkan pertumbuhan tisu baru yang sihat.

Kaedah debridement di klinik:

  • Autolytic debridement - menggunakan dressing yang menggalakkan pelembapan untuk melembutkan dan melarutkan tisu mati

  • Sharp/mechanical debridement - menggunakan alat steril untuk menyingkirkan tisu mati secara fizikal (dilakukan oleh doktor)

Langkah 4 - Pemilihan & Aplikasi Dressing

Doktor memilih dressing yang paling sesuai berdasarkan penilaian luka. Dressing diaplikasi dengan teknik yang betul dan dijamin stabil untuk tempoh yang ditetapkan.

Langkah 5 - Arahan Penjagaan Di Rumah

Pesakit akan diberi nasihat tentang cara menjaga luka, tanda amaran yang perlu diperhatikan, dan perkara yang perlu dielakkan semasa proses penyembuhan.

Arahan yang diberikan termasuk:

  • Cara menjaga dressing kering dan bersih

  • Tanda-tanda yang perlu segera ke klinik

  • Makanan yang menyokong penyembuhan luka

  • Ubat-ubatan yang dipreskripsi

Langkah 6 - Jadual Susulan

Kekerapan cuci luka bergantung kepada jenis luka, keadaan luka, jumlah cecair luka dan nasihat doktor atau pasukan penjagaan luka. Sesetengah luka mungkin memerlukan dressing yang lebih kerap, manakala luka lain boleh dipantau mengikut jadual tertentu.

Panduan umum kekerapan dressing:

  • Luka akut bersih: setiap 2–3 hari atau apabila dressing basah/kotor

  • Luka dengan eksudat sederhana: setiap 1–2 hari

  • Luka bernanah atau jangkitan aktif: setiap hari

  • Dressing moden tertentu: boleh kekal sehingga 3–7 hari

Pemakanan Mempengaruhi Kelajuan Penyembuhan Luka Anda

Ramai pesakit tidak sedar bahawa pemakanan memainkan peranan besar dalam penyembuhan luka. Badan memerlukan bahan binaan yang betul untuk membina tisu baru.

Nutrien penting untuk penyembuhan luka:

🥩 Protein
Protein adalah bahan binaan utama untuk semua tisu badan. Kekurangan protein adalah punca paling biasa penyembuhan luka yang lambat, terutamanya pada warga emas dan pesakit yang kurang makan. Sumber baik: ayam, ikan, telur, kekacang, tahu, susu.

🍊 Vitamin C
Penting untuk sintesis kolagen, protein struktur utama kulit dan tisu penghubung. Tanpa Vitamin C yang mencukupi, kolagen yang terbentuk adalah lemah. Sumber baik: buah sitrus, guava, tomato, brokoli, capsicum.

🔴 Zink (Zinc)
Memainkan peranan dalam pembelahan sel, pertumbuhan tisu dan fungsi imun. Kekurangan zink sangat biasa di kalangan pesakit luka kronik. Sumber baik: daging merah, kekacang, biji labu, makanan laut.

⚫ Zat Besi (Iron)
Penting untuk pengangkutan oksigen ke tisu yang sedang sembuh. Anemia menjejaskan kapasiti badan untuk membekalkan oksigen yang mencukupi kepada luka. Sumber baik: hati, daging merah, bayam, kekacang.

🌊 Hidrasi
Dehidrasi menjejaskan semua proses selular termasuk penyembuhan luka. Minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari, lebih jika luka mengeluarkan banyak eksudat.

Tanda-Tanda Luka Anda Dijangkiti. Jangan Tangguhkan Rawatan

Jangkitan luka adalah komplikasi yang serius dan perlu dirawat dengan cepat sebelum merebak.

🔴 Tanda Jangkitan - Datang Ke Klinik Hari Ini:

  • Kemerahan yang semakin melebar ke kawasan kulit sekeliling luka

  • Bengkak yang semakin teruk

  • Luka menjadi lebih panas berbanding kawasan sekeliling

  • Nanah atau cecair kuning/hijau keluar dari luka

  • Bau yang tidak menyenangkan dari luka

  • Kesakitan yang semakin bertambah berbanding hari-hari sebelumnya

  • Luka yang semakin membesar bukannya mengecil

🚨 Tanda Jangkitan Serius - Pergi Kecemasan Hospital:

  • Demam melebihi 38.5°C berkaitan dengan luka

  • Garis merah memanjang dari luka ke arah jantung (lymphangitis)

  • Bengkak teruk yang melibatkan kawasan yang luas

  • Pesakit berasa sangat lemah, menggigil atau keliru

  • Luka mengeluarkan bau busuk yang teruk dengan tisu hitam (necrotising fasciitis)

FAQ — Penjagaan Luka Di Klinik Medcare

Berapa kerap saya perlu datang untuk tukar dressing?
Kekerapan cuci luka bergantung kepada jenis luka, keadaan luka, jumlah cecair luka dan nasihat doktor atau pasukan penjagaan luka. Doktor akan menetapkan jadual susulan yang sesuai selepas penilaian pertama. Datang lebih awal jika dressing basah, kotor, tertanggal atau ada tanda jangkitan.

Bolehkah saya tukar dressing di rumah?
Luka kecil boleh diurus di rumah dengan dressing mudah, dan ubat untuk sakit jika perlu. Luka yang lebih serius, dalam atau kotor perlu dinilai oleh profesional. Untuk luka diabetes, luka bernanah, luka kronik atau luka yang lambat sembuh, penjagaan di klinik adalah lebih sesuai.

Adakah proses cuci luka menyakitkan?
Tahap ketidakselesaan bergantung kepada keadaan luka. Pasukan penjagaan luka akan cuba memastikan proses dilakukan dengan berhati-hati dan sesuai mengikut keadaan pesakit. Kami menggunakan teknik dan dressing yang meminimumkan kesakitan semasa penggantian. Ubat penahan sakit boleh diberikan jika diperlukan.

Saya ada diabetes. Luka kecil di kaki perlu ke klinik?
Ya, tanpa keraguan. Bagi pesakit diabetes, luka kecil sekalipun tidak boleh dipandang ringan kerana risiko jangkitan dan penyembuhan lambat adalah lebih tinggi. Datang ke klinik dalam masa 24–48 jam untuk penilaian awal.

Luka saya sudah 2 minggu tapi tidak sembuh. Normal ke?
Tidak. Luka akut yang normal sepatutnya menunjukkan tanda-tanda penyembuhan dalam 1–2 minggu. Luka kronik - yang mengambil masa lama untuk sembuh - mungkin perlu dibalut secara berkala oleh jururawat atau penjaga terlatih. Datang untuk penilaian jika luka tidak menunjukkan perbaikan.

Adakah dressing moden lebih mahal?
Ya, dressing moden mempunyai kos yang lebih tinggi berbanding dressing konvensional. Walau bagaimanapun, memandangkan ia boleh kekal lebih lama (3–7 hari berbanding 1–2 hari) dan mempercepat penyembuhan, kos keseluruhan rawatan sering lebih rendah dalam jangka masa panjang. Doktor akan mencadangkan jenis dressing yang paling sesuai mengambil kira keadaan luka dan kemampuan pesakit.

Bila luka perlu dirujuk ke hospital atau pakar?
Kami akan merujuk apabila: luka menunjukkan tanda-tanda jangkitan yang teruk atau merebak, luka melibatkan kerosakan tendon, tulang atau saraf, luka yang memerlukan pembedahan (skin graft), atau pesakit diabetes dengan tanda-tanda iskemia atau necrotising fasciitis.

Kenali Dr Asyraf dari Klinik Medcare!

Dr. Asyraf merupakan graduan Ijazah Doktor Perubatan(MD) dari Universiti Malaysia Sabah(UMS). Selepas tamat pengajian, beliau menjalani latihan House Officer(HO) dan setrusnya berkhidmat sebagai Medical Officer(MO) di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, di mana beliau memperoleh pengalaman luas dalam pengurusan pesakit dengan pelbagai masalah di dalam Jabatan Kecemasan.

Sepanjang bertugas, beliau dikenali sebagai doktor dapat mengenali dan diagnosis pesakit untuk mendapatkan rawatan berkesan. Dr Asyraf berminat dalam bidang sukan dan mengamalkan Perubatan Sukan dalam rawatan sakit sendi dan pemulihan fungsi. Doktor Asyraf mengetuai Klinik Medcare pada tahun 2023.

Pada 2025, Dr Asyraf berjaya menjalani program Perubatan Estetik dari program Malaysian Esthetic Certification (MAC) dan Doktor Kesihatan Pekerja dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja(DOSH)pada tahun 2026. Kini Dr Asyraf menguruskan isu kesihatan lelaki, estetik dan regeneratif.

Hubungi kami

operation.medcare@gmail.com

+6011-10749404

© 2026. All rights reserved.

Waktu Operasi :
9AM - 10PM setiap hari
Media Social